05 December 2010

Falsafah: Hidup itu hanya kehadapan


Hidup ini bagaikan sebuah kereta. Ia perlukan bahan bakar untuk terus maju. Tanpa bahan bakar sebagai tenaga, kereta itu tidak akan bergerak maju kehadapan. Manusia juga begitu, manusia perlukan sesuatu untuk membantu mereka bergerak terus kehadapan menghadapi hari-hari yang mencabar. Dr. Aidh Abdullah al-Qarni seorang penulis terkenal pernah berkata, "orang berjiwa besar mempunyai pandangan jauh ke hadapan dan berwawasan. Mereka memiliki cita-cita yang tinggi, semangat yang kuat dan mereka juga mengejar kejayaan di dunia mahupun akhirat." Beruntunglah mereka ini.

Kita mungkin pernah mendengar "Saya ingin berjaya", "Saya akan berusaha" dan pelbagai lagi falsafah yang digunakan sebagai bahan pembakar untuk terus maju. Kemahuan ini yang perlu ada, sebagai pembakar semangat untuk terus maju. Adakah, anda juga sudah ada kata-kata semangat atau perkataan itu sudah lama berkubur. Ingatlah kata-kata semangat itu merupakan azam dan motivasi kepada diri di saat kemalasan dan kekecewaan menyerang diri. Saya teringat kata-kata Eric Butterworth, seorang ahli falsafah, "Tiada apa yang boleh menghalang untuk seseorang yang mempunyai keinginan untuk berjaya. Setiap rintangan itu hanyalah sesuatu yang akan membina otot untuk mencapai kejayaannya. Ia akan menguatkan lagi kuasa seseorang untuk mencapai kejayaan."

Jadi bagaimana mencari semangat keazaman yang tinggi. Keazaman bukan sesuatu perkara yang boleh kita ambil daripada sesiapa, tetapi lahir daripada hati kita sendiri. Walaupun keazaman juga boleh datang melalui persekitaran. Percayalah, saya juga bukan seorang yang bersemangat, malah saya juga pernah kecewa dalam pembelajaran. Kerana kekecewaan itu, lahirlah satu penyakit iaitu rasa rendah diri dan tidak yakin dengan diri sendiri. Tapi yakinlah, Allah menjadikan makluknya dengan pelbagai kelebihan. Setiap kelemahan yang ada , insyallah terselit beberapa kelebihan.

Saya masih ingat satu peristiwa yang bergitu berbekas dalam hidup saya. Peristiwa yang mengubah paradigma saya berfikir. Peristiwa itu sudah lama berlalu, tapi kesannya cukup hebat. Saya masih ingat, waktu itu di pasar Payang Kuala Terengganu. Disaat itu saya hanya lalu di depan sebuah gerai menemani ibu membeli barang dapur. Pada mulanya, kelihatan seorang wanita, yang rupanya cukup manis. Dari jauh saya melihatnya asyik duduk dibelakang longgokan makanan membukit sambil memerhatikan orang ramai lalu lalang dihadapan gerainya. Dalam hati jahat saya berkata,"alangkah untungnya siapa yang mendapatnya, cantik, manis. Rasanya tak perlu berkerja, duduk rumah dan tunggu pinangan datuk-datuk kaya." . Tiba-tiba ada pelanggan terlanggar barang jualannya hingga terjatuh kelantai. Pelanggan itu terus berlalu. Perempuan itu pun keluar daripada gerainya. Tapi, alangkah terkejutnya saya, kerana dia merupakan seorang yang cacat, kedua tangannya kudung hingga ke siku dan kakinya pula hingga ke paras peha.

Waktu itu juga saya malu. Malu dengan kenyataan yang saya ucapkan. Walaupun seorang yang cacat hampir keseluruhan badan, tetapi dia tidak pernah meminta sedekah untuk menyara hidupnya. Malah dia tidak pernah malu dengan keadaanya, malah sentiasa senyum. Dia berusaha walaupun daripada pandangan masyarakat dia tidak berupaya.  Saya malu dan ingin sahaja meminta maaf kerana lontaran fikiran tanggapan jahat, tetapi saya tidak mampu. Selepas peritiwa itu, bermula paradigma baru, mungkin tanpa paradigma itu, saya rasa agak sukar untuk berada dan menjejakkan kaki ke menara gading sehingga sekarang. Sesungguhnya Allah itu maha pengasih, selagi kita tidak putus harapan kepadanya, insyallah rahmatnya pasti ada, cuma rahmat yang datang itu secara kita sedar atau tidak.

Sebenarnya, saya tak tahu nak post apa, anggaplah ini sebagai permulaan.....
Salam perkenalan

1 comment: